Isnin, 18 Jun 2007

Jangan rampas hak Melayu

Artikel nie aku petik dari surat khabar mingguan Malaysia tapi aku lupe tarikh. Kalau korang nak tau apa pentingnya artikel nie pada aku ialah isu yang berbangkit ketika artikel ini dikeluarkan ialah mengenai pengajaran matapelajaran sains & matematik di sekolah ke dalam bahasa inggeris. Sebagai salah seorang pejuang bahasa melayu, aku terbangkitlah untuk sama-sama menyokong supaya penggunaan bahasa melayu di dalam 2 matapelajaran teras dan penting ini dikekalkan.

Bercerita mengenai perjuangan memperkasakan bahasa melayu ini, aku ingin berkongsi pengalaman ketika aku masih di Universiti Malaya dulu, aku diamanahkan untuk memegang jawatan sebagai timbalan presiden, Angkatan Mahasiswa Islam Perakaunan, UM(AMIPUM). Time nie darah muda masih panas lagilah bak kata orang. Semangat untuk memperjuangakan bangsa terlalu tinggi. Dengan berbekalkan semangat ini walaupun cetek dari segi pengalaman, aku, arwah saiful (semoga rohnya dicucuri rahmat),anuar,farish dan ashadi memulakan langkah dengan menyatakan hasrat kami untuk menubuhkan kelab perakaunan melayu khas untuk orang melayu islam. Kami agak kurang berpuas hati kerana Kelab Perakaunan yang ada dipelopori oleh bangsa bukan Melayu pada ketika itu. Bukanlah niat untuk bermusuh, tetapi dengan tertubuhnya AMIPUM ini, niat kami untuk membela hak dan kepentingan mahasiswa melayu perakaunan & perniagaan menjadi nyata. Perbincangan demi perbincangan dijalankan oleh kumpulan kami ini. Selepas persepakatan dibuat, kami akhirnya bertemu pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi membincangkan perkara tersebut. Alhamdulilah beliau bersetuju untuk memberi kebenaran kepada kami melaksanakan hajat kami ini.

Antara tujuan kami menubuhkan persatuan ini sebenarnya ingin membantu mahasiswa islam untuk mempertingkatkan prestasi dan pencapaian mereka. Antara langkah-langkah dicadangkan ialah mewujudkan system mentor iaitu 1 mahasiswa yang bijak akan membuat study group dgn beberapa mahasiswa lain,mewujudkan nota kuliah di dalam bahasa melayu, mewujudkan hubungan dengan syarikat-syarikat korporat dan dewan perniagaan melayu serta beberapa aktiviti kemasyarakatan seperti gerai konvo dan majlis jamuan hari raya dan berbuka puasa.

Namun sesetengah pihak menentang usaha kami ini. Paling ketara ada segelintir pelajar melayu sendiri tidak bersetuju dengan usaha kami mewujudkan nota di dalam bahasa melayu. Alasan yang diberi oleh golongan ini kerana kononnya tidak mahu memanjakan bangsa sendiri. Memang betul cabaran yg akan dihadapi kelak ketika di zaman pekerjaan iaitu mesti menguasai bahasa inggeris dengan mahir kalau ingin bersaing di dalam pasaran sektor swasta khususnya.

Namun bagi aku mudah je nak menjawab soalan mcm ni. Ramai budak-budak melayu kat universiti ni bagus2. Tapi masalah bahasa yg menyebabkan mereka kurang hebat sama seperti ketika di bangku sekolah. Ilmu yg diberi oleh pensyarah tidak boleh diterima 100% oleh sbb masalah tersebut. Oleh itu, cadangan yg kami buat ini bertujuan membantu mereka untuk memahami pengajaran pensyarah dengan menyediakan alternatif nota bahasa melayu, (bukan minta pensyarah alih bahasa mengajar di dalam bahasa). Inilah antara masalah yg kite hadapi. Melayu sendiri yg tak ingin memajukan bahasa ibunda. Semangat patriotik tidak wujud di dalam hati mereka. Jika mereka pakar dalam bahasa inggeris, setidak-tidaknya beri peluang kepada kawan-kawan lain meguasai ilmu sama seperti mereka. Kenapa kite tak boleh jadi macam Jerman,Perancis,Taiwan, Korea juga Indonesia dan Thailand telah menuju ke arah yg sama iaitu mengalih bahasa segala buku ilmu kepada bahasa ibunda mereka. Bangsa-bangsa yg belajar menggunakan bahasa ibunda inilah yg menjadi antara bangsa yg maju di dunia ketika ini. Memang tidak dinafikan penguasaan bahasa inggeris penting tetapi bukan dengan menukar ilmu teras kepada bahasa orang lain. Fikir-fikirkan lah...........................................................................

MUKADIMAHLAGI mengenai isu pendidikan. Yang terbaru, orang Melayu terkejut dengan keputusan kerajaan membuka 10 peratus kuota dalam Program Matrikulasi dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kepada bukan bumiputera. Kemudian terdapat keresahan apabila jumlah pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) didapati cuma lima peratus.Isu-isu ini menyusul selepas polemik pelajar Melayu lemah, graduan Melayu tidak fasih berbahasa Inggeris dan menganggur, cadangan sekolah aliran Inggeris dan keributan ujian pertama sistem meritokrasi. Apa yang pasti, semuanya berkisar tentang Melayu sehingga membayangkan pelajar Melayu terlalu lemah.Setiap kali timbul isu dan kontroversi bidang pendidikan serta munculnya pelbagai cadangan, sistem pendidikan akan dipersalahkan - akhirnya ia diubah dan diubah lagi.Tokoh pendidikan dan ahli akademik yang masih aktif, Profesor Diraja Ungku Aziz mengakui sistem pendidikan negara sekarang semakin caca marba kerana sentiasa diubah.``Saya lihat perubahan sistem pendidikan adalah semata-mata memenuhi perjanjian atau kompromi politik... pendidikan bukannya bola untuk permainan politik.``Ia menjadi lebih tidak adil jika perubahan dilakukan dengan merampas hak istimewa bumiputera yang telah dipersetujui,'' katanya yang lebih dikenali sebagai Pak Ungku.Ketika ditemu bual selama dua jam oleh wartawan AZMAN ANUAR dan RAMLI ABDUL KARIM di rumahnya di Kuala Lumpur, Jumaat lalu, Pak Ungku optimis pelajar Melayu sebenarnya mampu bersaing. Tetapi ia tidak akan berlaku sekarang.Rombakan sistem kuota bukanlah jawapan untuk meningkatkan prestasi akademik Melayu, kata beliau.``Soal kuota sudah selesai pada 1970-an, apa perlu diubah lagi. Yang penting biarlah `kecacatan' Melayu dalam pendidikan dihapuskan dahulu,'' ujarnya.Pak Ungku turut menyentuh isu bahasa pengantar Inggeris bagi subjek tertentu di sekolah, penggabungan IPTS dan pelajar lelaki Melayu tidak bermotivasi.MINGGUAN: Kerajaan mengejutkan orang Melayu apabila mahu membuka 10 peratus kemasukan bukan bumiputera dalam Program Matrikulasi dan MRSM. Kepada Pak Ungku, apakah sebenarnya yang ingin kerajaan sampaikan daripada keputusan itu?UNGKU AZIZ: Saya fikir ini satu langkah politik. Tidak ada kena-mengena dengan perkara lain. Ia didorong pengaruh politik. Ada orang fikir ini untuk beri persaingan kepada pelajar Melayu sebab sekarang mereka tidak bersaing.Pada saya, logik alasan untuk persaingan itu tidak jelas. Kalau hendak orang bersaing kita patut tukar sistem. Itupun kalau soal persaingan begitu penting bagi kita.Kalau kita rasa perlu ditambah lagi persaingan, kita boleh tambah.Yang peliknya kekurangan dan masalah asas pelajar Melayu tidak dipandang. Sebaliknya soal persaingan lebih disibukkan.Saya yakin kalau tujuannya ialah untuk mewujudkan persaingan ada teknik lain.Pak Ungku tidak setuju dengan kuota 10 peratus itu dan menganggap keputusan kerajaan itu sekadar keputusan politik?UNGKU AZIZ: Ya, ya. Saya yakin perkara ini dibuat kerana perjanjian politik untuk memuaskan hati bukan Melayu yang nampaknya seperti kata pepatah, beri betis hendak paha. Jadi, ini soal sama ada kita mahu menjual paha atau tidak. Itu persoalannya sekarang. Kalau mahu jual sangat paha itu, juallah kalau itu saja yang boleh dapatkan sokongan bukan Melayu.Isu kuota ini sudah selesai selepas 13 Mei 1969 dulu. Ketika itu Melayu lemah dan perlukan bermacam-macam bantuan supaya kedudukan kita boleh sama (dengan bukan Melayu).Sebenarnya kita perlu sediakan pelajar Melayu yang boleh bersaing dan tidak gagal dalam persaingan.Kita mesti ada program untuk menyediakan pelajar terbabit supaya mempunyai harapan menang dalam persaingan.Dalam bola sepak, kita pandai cari jurulatih untuk menang, kalau pelajar mana jurulatihnya. Inilah soalnya.Jadi kalau isunya ialah untuk Melayu bersaing, kita mesti gunakan teknik yang lain.Bukan dengan kuota 10 peratus tadi?UNGKU AZIZ: Bukan kuota. Saya fikir kuota lebih kepada bukan Melayu tidak mengatasi masalah prestasi Melayu.Satu lagi tujuan kuota 10 peratus kepada bukan Melayu itu ialah perpaduan dan integrasi kaum. Adakah ini boleh diterima?UNGKU AZIZ: Dalam soal integrasi dan perpaduan kaum ini kalau dibincangkan dalam konteks misi atau wawasan, hanya boleh tercapai sepenuhnya mungkin 50 atau 100 tahun daripada sekarang.Tetapi pada masa ini, tahap perpaduan yang dicapai di Malaysia sebenarnya sudah amat baik. Negara kita menjadi model kepada dunia. Bandingkanlah Malaysia dengan seluruh Asia Pasifik dan Asia Tenggara, kita jadi model iaitu boleh hidup satu tempat walaupun berbilang kaum.Adakah sekali lagi Pak Ungku menganggap alasan integrasi ini merupakan alasan politik?UNGKU AZIZ: Ya, ia dipolitikkan. Yang memperbesar-besarkan dan lebih sibuk dalam soal ini ialah parti bukan bumiputera.Sebenarnya yang berasa lemah sekarang ini ialah orang Melayu. Bukannya bukan Melayu kuat sangat, tidak.Jadi, kalau yang rasa lemah itu Melayu, kenapa hak orang Melayu pula yang diambil?UNGKU AZIZ: Ini kerana pemimpin Melayu tidak berbalik atau lihat masalah yang sepatutnya mereka selesaikan. Ini termasuk mengurangkan kemiskinan orang Melayu terutama di luar bandar.Turunlah ke padang, lihatlah masalah dan kekurangan pelajar Melayu di sekolah-sekolah terutama di luar bandar. Kemudian cari jalan selesaikan masalah fundamental ini. Ini termasuk juga soal pemakanan seimbang dan berzat, kemudahan belajar, alat-alat sokongan pembelajaran dan persekitaran sekolah.Saya yakin jika ini dilakukan, kedudukan pelajar Melayu termasuk di luar bandar akan jauh lebih baik.Pada pandangan Pak Ungku, dengan mengubah sedikit dasar pendidikan, adakah hak istimewa orang Melayu akan terjejas?UNGKU AZIZ: Ya, sudah tentu. Dari segi itu, ini memang merugikan orang Melayu. Lama-kelamaan seumpama tikus membaiki labu. Ubah sana sedikit, ubah sini sedikit. Sebagai orang lama saya nampak masalah itu tidak akan selesai dengan cara ubah dasar.Sedangkan pada masa yang sama, orang bukan Melayu makin lama makin kuat. Memang tuntutan 17 perkara oleh Suqiu dulu sudah senyap. Sebabnya mereka boleh dapat benda lain.Mereka cuba dapatkan sedikit demi sedikit. Daripada betis sudah sampai ke lutut. Ini masalahnya iaitu strategi kita berhadapan tuntutan orang bukan Melayu.Saya sayang orang bukan Melayu. Saya hormati budaya dan sistem pendidikan mereka baik. Tetapi jangan rampas hak orang Melayu.Penarikan kuota 10 peratus milik bumiputera itu boleh diterima jika IPTS yang kini dibanjiri pelajar bukan Melayu dibuka seluas-luasnya kepada pelajar Melayu. Adakah Pak Ungku bersetuju?UNGKU AZIZ: Saya fikir begini. Di IPTS kita beri pasaran bebas. Apa yang hendak dilakukan terpulang kepada mereka. Siapa ada duit boleh belajar di situ. Kalau pelajar Melayu ada duit atau dapat biasiswa, boleh belajar di IPTS.Sebaliknya kalau di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kita mesti berbalik kepada tahun 1970. Iaitu kenapa ketika itu diadakan universiti-universiti ini iaitu untuk memberi lebih banyak tempat kepada orang Melayu mendapat pendidikan tinggi.Adakah Pak Ungku ingin beritahu bahawa peruntukan 10 peratus tempat di matrikulasi dan MRSM kepada bukan bumiputera sebagai tindakan yang salah?UNGKU AZIZ: Saya tidak mahu katakan begitu. Tetapi saya rasa kerajaan perlu definisikan masalah sebenarnya. Adakah masalahnya ialah persaingan di kalangan pelajar Melayu. Atau masalahnya kurang Melayu. Atau masalahnya kurang bukan Melayu?Jadi keputusan yang diambil oleh kerajaan itu perlu dikaji semula?UNGKU AZIZ: Ya, saya rasa ia perlu difikirkan semula.Sebagai ahli akademik berpengalaman, apa yang Pak Ungku rasa apabila melihat sistem pendidikan negara yang dianggap caca marba kerana terlalu kerap mengalami pindaan dan perubahan?UNGKU AZIZ: Saya dapati apa yang berlaku sekarang, kebanyakan pemimpin apabila kena cuit sedikit, mereka melenting. Mereka ini bersifat reaktif. Bila ada masalah baru lakukan sesuatu. Jadi akhirnya seperti tikus membaiki labu.Ini suatu keadaan yang tidak baik untuk bidang pendidikan negara. Tidak banyak yang proaktif iaitu berfikir jauh ke hadapan.Kita patut mempunyai rancangan jangka panjang. Dan kita mesti tegas dan tetap dengan perancangan itu. Kalau kita hendak berubah, biarlah selepas 10 tahun atau lebih.Adakah sistem pendidikan yang selalu berubah sekarang banyak merugikan orang Melayu?UNGKU AZIZ: Kalau tiap-tiap tahun kita ubah sistem pendidikan, yang menjadi mangsa ialah pelajar, bukan saja pelajar Melayu malah semua kaum.Bagaimanapun, bercakap mengenai Melayu, kita harus ingat mengenai kedudukan mereka masa kini. Dalam keadaan sekarang, kecacatan dalam pembelajaran dan pendidikan lebih banyak ditanggung oleh pelajar Melayu.Ini kerana mereka bermula dengan `cacat'. Lahir saja ke dunia, belum pun mula belajar lagi sudah `cacat'. Mereka kebanyakannya miskin. Apabila bersekolah, mereka banyak kekurangan dan kurang kemampuan. Mereka kurang sana sini. Mereka tidak dapat beli buku yang cukup dan tidak makan makanan berzat dan seimbang sebelum ke sekolah. Di sekolah pula, kemudahan pembelajaran dan persekitaran juga tidak baik. Dengan `kecacatan' ini bagaimana mereka mahu bersaing?Kenyataan Pak Ungku ini bertentangan dengan statistik kemasukan ke IPTA tahun ini yang mana 68 peratus adalah Melayu?UNGKU AZIZ: Sudahkah saudara melihat peratusan perempuan dalam peratusan Melayu itu? Kita patut buka mata dan lakukan sesuatu kerana peratusan tinggi itu adalah kerana pelajar perempuan Melayu. Ini bermakna perempuan lebih bermotivasi.Pada keseluruhannya, lebih daripada 65 peratus pelajar di universiti awam adalah perempuan.Kita kena fikir kenapa pelajar perempuan lebih bermotivasi berbanding pelajar lelaki. Untuk jawapannya, kita kena lihat balik kepada soal persaingan.Maksudnya, lelaki tidak mahu bersaing. Apa yang kita hendak janjikan kepada pelajar lelaki Melayu ini sebagai motivasi kepada mereka untuk bersaing.Atau, apa yang hendak kita lakukan kepada minda pelajar lelaki Melayu? Kita kena definisikan masalah terlebih dahulu. Ini supaya kita dapat menggalakkan minda mereka lebih sedia bersaing.Macam mana pun, kita patut berbangga dan terima hakikat bahawa statistik itu membuktikan pelajar Melayu sebenarnya mempunyai kebolehan?UNGKU AZIZ: Sudah pasti. Itu saya setuju dan tidak nafikan. Cuma saya mahu kita sedar sama ada statistik itu mewakili pelajar Melayu lelaki atau perempuan.Kalau kerajaan beri 10 peratus kuota kepada bukan bumiputera memasuki Program Matrikulasi, adakah ini boleh menukar statistik kemasukan ke IPTA tahun depan?UNGKU AZIZ: Kalau kita rasakan orang Melayu sekarang benar-benar sudah tidak perlukan lagi kuota kerana yakin sudah boleh bersaing, tiada masalah untuk membuka seluas-luasnya sekalipun.Jika kita yakin dan boleh bersaing, memang kita boleh kekalkan statistik ini. Syaratnya, kita sudah yakin kita boleh menang dalam persaingan.Tetapi dengan sistem merit ini, kita cuma boleh lihat sama ada mereka boleh bersaing atau sebaliknya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.Secara peribadi, bagi Pak Ungku sendiri, adakah orang Melayu sudah boleh bersaing?UNGKU AZIZ: Orang Melayu sama dengan orang lain jika mereka ada minat. Buktinya, hari ini pelajar perempuan Melayu telah buktikan mereka boleh bersaing dan boleh menang dalam persaingan. Persoalannya ialah apa yang telah terjadi kepada pelajar lelaki Melayu.Selepas lebih 30 tahun orang Melayu menikmati pelbagai hak keistimewaan, Pak Ungku fikir, adakah Melayu sudah mampu berdiri sendiri jika hak mereka termasuk kuota dalam bidang pendidikan ditarik sedikit demi sedikit?UNGKU AZIZ: Kita balik pada tahun 1970-an iaitu apabila telah dipersetujui supaya orang Melayu diberi 40 peratus dalam semua bidang untuk penyusunan semula masyarakat. Tindakan ini diambil supaya tidak ada satu-satu bangsa yang memonopoli mana-mana bidang.Yang itu sampai sekarang pun kalau lihat statistik, kepentingan 40 peratus orang Melayu dalam semua bidang belum tercapai. Memang ada orang Melayu yang pegang syarikat korporat yang besar-besar. Tetapi manfaatnya kepada orang Melayu secara keseluruhannya terutama di luar bandar tidak diterima.Orang Melayu boleh bersaing dan berdiri atas kaki sendiri tetapi saya rasa sekarang bukan masanya.Kalau begitu keadaannya, patutkah orang Melayu dipaksa menerima keputusan-keputusan berhubung hak keistimewaan mereka dalam bidang pendidikan?UNGKU AZIZ: Ambil contoh pemberian kuota 10 peratus kepada bukan bumiputera di matrikulasi dan MRSM. Kalau kerajaan fikir ia terbaik dan sudah buat keputusan muktamad, maka muktamadlah. Tetapi lepas ini janganlah pula dibincangkan lagi. Kerajaan kena tunjukkan ia tegas supaya masyarakat ada disiplin. Bukannya sekejap beri 10 peratus dan kemudian tarik balik.Ada yang menyalahkan cara pemilihan ke IPTA yang memberi keutamaan kepada lepasan STPM dan matrikulasi. Lalu dicadangkan peperiksaan tunggal dengan alasan matrikulasi tidak setara STPM. Bagaimana Pak Ungku melihat perkara ini?UNGKU AZIZ: Saya boleh terima pelaksanaan sistem satu peperiksaan atau peperiksaan tunggal bagi menentukan kelayakan ke universiti. Bagi saya itu tidak menjadi masalah. Ini memudahkan kita dalam pemilihan pelajar. Kalau dilaksanakan, cuma gunakan sistem baru itu saja.Pemansuhan STPM dan matrikulasi serta pelaksanaan peperiksaan tunggal bermaksud sistem pendidikan diubah lagi. Sedangkan kita sendiri akui ini kurang baik bagi bidang pendidikan. Jadi apa pesanan Pak Ungku?UNGKU AZIZ: Memang kita tidak mahu kerajaan bertindak seperti tikus membaiki labu. Walaupun pada prinsipnya saya setuju dengan satu peperiksaan kemasukan ke universiti ini tetapi pesanan saya, sebelum dilaksanakan, fikirlah habis-habis. Dan selepas diputuskan nanti, jangan diubah-ubah lagi.Jadi bagaimana hendak memperbetulkan dasar pendidikan yang kerap berubah ini?UNGKU AZIZ: Pertama, saya rasa parti politik yang memerintah mesti ada satu dasar yang mantap dan semua orang boleh terima.Yang kedua, apabila dasar dan sistem sudah dipersetujui dan dilaksanakan ia tidak boleh diubah-ubah lagi. Jika tidak, di sinilah timbulnya kompromi politik dalam pendidikan. Perubahan-perubahan pula dilakukan dalam jangka masa singkat.Patutkah kita hapuskan kompromi politik dalam bidang pendidikan ini?UNGKU AZIZ: Dalam bidang dan sistem pendidikan kita tidak perlu ada kompromi politik. Pendidikan tidak boleh jadi bola untuk permainan politik.Perbincangan kita ini nampaknya mengesan pertembungan antara tuntutan ekstremis Melayu dan ekstremis bukan Melayu. Orang Melayu pertahan hak istimewa mereka manakala bukan Melayu melihat hak sama rata sebagai warganegara. Apakah penyelesaiannya?UNGKU AZIZ: Kita mesti tunjukkan kepada ekstremis bukan Melayu apa yang telah mereka nikmati selama ini. Begitu banyak kekayaan negara ini yang telah mereka kuasai. Mereka juga dapat begitu banyak peluang dalam pendidikan. Majoriti kepentingan, mereka yang dapat. Tidakkah itu semua masih belum mencukupi untuk mereka? Kerajaan pula beri peluang kepada orang Melayu untuk mencapai kedudukan yang sama rata dengan bukan Melayu.Dan bagi yang ekstremis Melayu, mereka tidak boleh lihat untuk merampas hak orang lain. Begitu juga bukan Melayu tidak boleh rampas hak orang Melayu.Kita beralih kepada dilema orang Melayu di IPTS. Benarkah orang Melayu betul-betul tidak ada duit atau kemampuan menghantar anak-anak memasuki IPTS?UNGKU AZIZ: Ya, memang betul. Cuba fikirkan, kalau hendak mengikuti satu-satu kursus saja, bayarannya lebih RM10,000. Mana orang Melayu ada duit sebanyak itu. Itu satu tahun, kalau tiga tahun RM30,000. Saya bercakap dari segi keseluruhan atau pada umumnya berkenaan kemampuan orang Melayu.Bagaimana pula Pak Ungku melihat cadangan menghentikan pemberian lesen dan juga penggabungan IPTS?UNGKU AZIZ: Bagi saya, apa yang penting ialah Lembaga Akreditasi Negara (LAN) perlu betul-betul menjaga kualiti pendidikan di IPTS. Mereka mesti turun padang mengunjungi semua IPTS ini. Tidak kiralah berapa pun jumlahnya, asalkan standard kualiti dijaga. Kita tidak perlu sekat perkembangan IPTS.Bagi saya, kita juga tidak perlu gabung IPTS. Biarlah ada 1,000 IPTS pun, yang penting ialah ada badan pemantau. Mereka ini perniagaan bebas dan kita juga kena sokong perniagaan bebas.Jadi, Pak Ungku tiada kebimbangan langsung dengan nasib pelajar Melayu di IPTS?UNGKU AZIZ: Saya tidak kisah dan bimbang langsung tentang apa yang berlaku dalam IPTS. Yang penting bagi saya ialah sediakan banyak Melayu untuk ditempatkan dalam IPTA dan IPTS.Tetapi dalam penyediaan itu, kerajaan haruslah memastikan `kecacatan' dan kekurangan pelajar Melayu dihapuskan terlebih dahulu.Ini termasuk soal kemiskinan, kekurangan makanan berzat dan tiada kemudahan pembelajaran mencukupi di luar bandar yang kebanyakannya menempatkan pelajar Melayu.Tanpa mempersoalkan hak IPTS mengamalkan pasaran bebas dalam pengambilan pelajarnya, bolehkah nisbah Melayu dan bukan Melayu diseimbangkan di IPTS sedangkan kemampuan Melayu masih jauh di belakang?UNGKU AZIZ: Kalau boleh, saya minta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencari pelajar-pelajar Melayu yang berpotensi untuk dibantu belajar di IPTS. Kita tidak boleh tunggu sehingga orang Melayu benar-benar sudah ada duit untuk melihat mereka lebih ramai di IPTS.Sebaliknya, kerajaan sendiri termasuk pihak PTPTN perlu mengenal pasti mereka dan beri bantuan dan peluang belajar di IPTS.Kita juga berhadapan dengan masalah yang dihadapi oleh pemegang diploma. Mereka ini tidak mendapat tempat dalam pemilihan pengajian peringkat ijazah di universiti awam. Apa komen Pak Ungku?UNGKU AZIZ: Kalau kita adakan sistem satu peperiksaan yang disebutkan tadi, masalah ini akan selesai. Maknanya, pemegang diploma juga kena menduduki peperiksaan kelayakan ke universiti ini.Seperkara lagi yang saya mahu katakan ialah di negara ini kita tidak galakkan pelajar belajar sendiri dengan mengikuti pengajian jarak jauh atau PJJ. Tidak banyak orang Melayu mengikutinya.Sepatutnya, PJJ ini perlu digalakkan. Lihatlah di England, Jerman dan Jepun orang sentiasa belajar. Mereka ambil ijazah secara PJJ sama ada orang dewasa atau yang muda.Jadi pada saya, orang Melayu termasuk pemegang diploma tidak patut terlalu bergantung pada tawaran kemasukan ke universiti untuk pembelajaran sepenuh masa di kampus. Cubalah belajar sendiri menerusi PJJ atau luar kampus, yang penting kita ada minat untuk belajar.Mungkin masalah PJJ ini ialah disebabkan yurannya terlalu mahal. Sewajarnya yuran ini dikaji semula. Dan kemudian bekalkan buku yang berkualiti dan juga cakera padat untuk pembelajaran sendiri.Satu lagi ialah mata pelajaran Sains dan Matematik yang akan diajar dalam bahasa Inggeris bagi murid Tahun Satu mulai tahun depan. Adakah ini boleh membantu pelajar khususnya Melayu menguasai bahasa Inggeris?UNGKU AZIZ: Kepada guru, mungkin tidak banyak masalah kerana mereka boleh berfikir dalam bahasa Inggeris. Tetapi masalahnya, para pelajar Melayu ini tidak berfikir dalam bahasa Inggeris.Lebih baik ajar mereka cara belajar dan cara membaca dalam bahasa Inggeris. Kuncinya ialah membaca. Kalau mereka sudah boleh membaca dan faham apa yang dibaca, 70 atau 80 peratus masalah sudah diatasi.Lagi satu, kita tidak boleh terus ajar subjek di sekolah rendah dalam bahasa Inggeris tanpa persediaan peringkat lebih awal. Kalau tidak, mereka akan mengalami kejutan. Pertama sebab saya katakan tadi, mereka tidak berfikir dalam bahasa Inggeris. Kedua, di peringkat Tadika tiada pendedahan kepada bahasa Inggeris.Saya perlu tegaskan bahawa kanak-kanak selepas umur 14 tahun barulah boleh terima dan menguasai tiga atau empat bahasa.Kalau begitu Pak Ungku tidak setuju ada subjek diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah?UNGKU AZIZ: Orang Jepun, Hong Kong dan Taiwan misalnya, mereka boleh bercakap tetapi tidak fasih dalam bahasa Inggeris. Tetapi mereka boleh baca dan faham apa yang mereka baca dalam bahasa Inggeris.Yang penting pada peringkat persekolahan bukannya belajar bercakap tetapi membaca. Kalau mereka boleh membaca dan faham sepenuhnya buku-buku berbahasa Inggeris, dunia ilmu untuk mereka terbuka seluas-luasnya.Masalahnya, pasaran pekerjaan semakin mengutamakan mereka yang fasih berbahasa Inggeris, bukan setakat membaca.UNGKU AZIZ: Apabila mereka sudah banyak ilmu dan boleh membaca bahasa Inggeris, barulah mereka belajar menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris.Pak Ungku sebenarnya ingin beritahu tentang perlunya status quo kedudukan bahasa Melayu di sekolah?UNGKU AZIZ: Ya. Mereka di sekolah rendah tidak boleh menguasai banyak bahasa pada sesuatu masa. Sebab pelajar Melayu tidak ada latar belakang yang membantu mereka kuasai dan guna bahasa lain selain bahasa Melayu.Pak Ungku, kenapa terlalu sukar untuk menguruskan sistem pendidikan di negara ini?UNGKU AZIZ: Ini kerana sistem yang kita ada sudah menjadi terlalu kompleks. Ia disebabkan antaranya terlalu banyak pemikiran dan keputusan jangka pendek di dalamnya.Saya tegaskan bahawa tokoh pendidikan terkemuka dunia daripada Napoleon, Al-Ghazali, Ibnu Khaldun dan lain-lain, kebanyakannya bukan orang politik.Orang yang patut atau boleh merancang pendidikan ialah kumpulan yang banyak pengalaman mengajar dan terbabit secara langsung, bukannya orang politik yang mendominasikannya.Kalau sebaliknya, inilah yang berlaku seperti sekarang apabila sudah ada naib canselor universiti yang tidak pernah pun mengajar di bilik kuliah.




Tiada ulasan: