Rabu, 20 Jun 2007

KOMPANG.........Kemunculan Gema Menara, Kebangkitan Gema Astar




Sebagai permulaan, aku ingin berkongsi sedikit dengan korang asal usul permainan kompang ini. Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing.Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menengangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi 'cak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.
Bermulalah ceritanya al kisah bagaimana insan bernama Sufian a.k.a John ini menceburi sejenis alat muzik kesenian yg diberi nama kompang. Aku belajar bermain kompang menerusi kawan – kawan kat kolej kedua, UM. Time tu aku berada di tahun kedua, seingat aku. Pada perjumpaan kali pertama, hanya sesi berkenal-kenalan di antara ahli-ahli kelab kompang kolej tersebut. Kebanyakan kawan-kawan aku time tu memang dah mahir bermain alat muzik ini. Untuk beginner mcm aku nie, kami diajar mengenai pukulan asas dan juga cara pukulan yg betul. Terdapat 3 pukulan asas yg diajar iaitu melalu,menyelang dan melanak.

Di UM ketika itu telah bermulanya acara pertandingan Kompang bagi kejohanan Festival Seni yg biasanya diadakan sekali dalam setahun. Pada tahun 1999, pertama kali aku juga melibatkan diri di dalam pertandingan ini. Setelah hampir separuh mahir bermain, aku diletakkan sebagai pemain ‘melalu’ (pukulan paling basiclah tu…) disebabkan aku masih belum boleh memukul dengan cara yg betul. Aku happy sangat dapat main kompang. Aku pun tak tahu kenapa. Mungkin kerana permainannya agak mudah dan dimainkan secara beramai-ramai. Memang enjoy dapat bermain bersama kumpulan ini. Selain itu, gabungan bunyi – bunyian dan pelbagai kombinasi pukulan memang menghiburkan. Kumpulan kompang kolej kami diberi nama “Gema Menara”. Nama kumpulan ni kalau tak silap diberikan oleh Encik Kobis, salah seorang kawan aku yg paling otai dalam permainan ini. Di samping itu, beberapa nama lain seperti Nyok, Kudup dan Jali antara otai-otai yg banyak mengajar aku cara bermain serta pukulan kompang yg betul.

Berbalik kepada pertandingan kompang Festival Seni tadi, pasukan kami telah mendapat tempat kedua daripada 4 pasukan. Pada tahun pertama diadakan ini, sambutan agak kurang menggalakkan di kalangan kolej-kolej di UM. Mungkin disebabkan kerana kurangnya bakat yg dapat dicungkil dalam masa yg tidak sampai setahun. Macam kat kolej aku, kite orang memang dah mempunyai pasukan kompang yg agak lama. Sebelum wujud pertandingan ini pun kami telah bermain untuk majlis-majlis di dalam mahupun serta di luar UM, Kolej di samping jemputan-jemputan majlis perkahwinan. Sesungguhnya penubuhan pasukan kompang yang telah lama wujud di kolej aku memberikan kelebihan kepada kami. Kami berlatih siang malam tanpa henti demi untuk mendapatkan hadiah kejuaraan tersebut. Sebenarnya di dalam hati kami semua bukan tempat kedua yg dicari. Namun begitu, aku tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami tetap menang.

Semasa bersama pasukan Gema Menara, banyak lagi perkara yg aku tidak ketahui mengenai kompang. Memang banyak. Ilmu masih terlalu sedikit di dada tetapi keyakinan untuk menjadi juara begitu tinggi hanya disebabkan pengalaman bermain kompang yg agak lama. Kepada korang yg tahu mengenai kompang, aku pada tahun 1999 hanya tahu bermain sedikit sahaja pukulan. Yg paling utama ialah pukulan Johor, pukulan Tutup Gelanggang serta berteh. Masih tidak terfikir ketika itu di dalam benak otak aku bahawa terdapat pelbagai jenis pukulan lain yg lunak alunan melodinya.

Di tahun ketiga, aku masih bermain kompang di UM. Dalam tempoh hampir setahun belajar, aku telah mahir bermain kompang. Bukan setakat bermain pukulan melalu, tetapi aku kini telah dipertanggungjawabkan untuk bermain pada tahap tertinggi iaitu pukulan melanak atau bahasa rojak kumpulan kami, main goreng. Kalau dalam kompang, orang yg main melanak ni nampak hebatlah. Sebabnya die akan bermain syok sendiri tanpa menghiraukan orang lain. Pada tahun ini juga, ada beberapa orang junior yg turut serta menyertai pasukan kami. Selain itu buat pertama kalinya pasukan kami juga dibuka kepada mahasiswi-mahasiswi. Alaaa... kebanyakan antara dieorang ni pun kawan2 sama betch dengan aku gak. Entah apalah yg dieorng ingin sangat main kompang nie. Memang susah aku nak ajar.....mcm2 pe’el yg timbul.

Musim festival seni tiba.........Kali nie kami bersiap sedia awal. Nak jadi johanla katakan. Untuk pengetahuan korang, johan tahun lepas merupakan pasukan kompang Kolej 9 iaitu, ‘Gema Tanjung’. Dieorang ni nampak hebat jugalah. Permainan dieorang agak kreatif di samping gerak tari yg cukup menghiburkan. Kekalahan dalam musim lepas mengajar kami untuk memperbaiki kelemahan yg wujud. Pelbagai jenis lagu dan tarian yg difikirkan agar sesuai dengan persembahan pada tahun kedua ini. Setelah kata sepakat dicapai, kami semua bersetuju untuk mengambil lagu Ting Ting – Noraniza Idris sebagai lagu tema. Kehebatan lagu ini ialah disebabkan kami mencipta pukulan sendiri mengikut rentak lagu tersebut.

Dengan itu, latihan telah dijalankan dalam tempoh sebulan awal. Siang malam pasukan kami giat berlatih bagi memantapkan persembahan di dalam semua segi mahupun pukulan, tarian, suara sehinggalah kepada belajar senyum semasa persembahan. Senyuman adalah penting di dalam persembahan pertandingan kerana ianya menunjukkan keyakinan dan kekuatan teamwork pasukan tersebut. Bagi aku, apa yg penting di dalam pensembahan ini ialah perlunya bermain dengan sifat neutral. Jangan terlalu kaku menghafal pukulan atau tarian. Barulah nampak profesional. Dengan persediaan yg begitu rapi dan mantap berbanding tahun lepas, kami mula mencongak untuk merampas kejuaraan daripada Kolej 9.

Hari pertandingan tiba...
Kami memakai baju melayu warna merah hati berselempangkan kain pelikat milik peribadi. Maka acara pertandingan pun bermulalah. Aku dapat merasakan sesuatu yg tidak kena kali ni. Jeritan suara kami agak lantang tetapi berbaur sumbang. Apa yg aku perasan, time nyanyi lagu disertakan pukulan kompang yg agak kuat menyebabkan suara kami tenggelam. Kami terpaksa menjerit sekuat-kuat hati menyebabkan ianya jadi sumbang. Peluh di badan mencurah-curah sehingga membasahi baju yg aku pakai. Selesai bermain dan mempersembahkan hasil kerja kami selama 1 bulan, tibe giliran pasukan lain menunjukkan aksi. Kelibat Kolej 9 muncul pada penghujung pertandingan. Selaku juara, mereka kelihatan masih menyengat. Persembahan yg agak kreatif dan bertenaga selain lagu P.Ramlee bertajuk Pukullah Taboh menjadi pilihan mereka pada tahun ini. Selesai semua pasukan beraksi....inilah detik yg paling ditunggu-tunggu. Keputusan berada di tangan juri pertandingan. Tibe masa pengumuman, keputusan yg dibuat juri sangatlah mendukacitakan. Pasukan Gema Menara tidak termasuk di dalam rumpun pasukan 3 terbaik seterusnya tewas pada tahun ini tanpa apa-apa kemenangan. Apa yg aku ingat, aku dgn wadi time tu terkedu tertelan air liur sampai tak tau nak kata apa. Manakala si nyok terduduk sambil menepuk dahi. Kami semua hampir tak percaya. Begini akhirnya usaha kami selama ini. Cik Balkish,(Pengerusi Festival Seni) sempat bertanya kepada juri berkenaan kelemahan pasukan kolej kami sehingga tidak mendapat tempat di dalam pertandingan kali ini. Juri menerangkan kelemahan kami pada kali ni ialah pukulan yg kami cipta untuk lagu ‘Ting Ting’ tiada asas pukulan kompang. Bunyinya dan juga suara kami agak sumbang. Aku melangkah agak lemah balik ke kolej. Buat pertama kali kami tewas teruk...........

Tahun 2001...Memberi keceriaan yg agak mendalam pada aku pada kali ni. Aku berada di tahun akhir sebelum dunia menganggur aku muncul. Pada tahun ini, aku menyertai aktiviti kompang UM sebagai memenuhi keperluan ko-kurikulum bagi melengkapkan keseluruhan jam kredit terkumpul aku di UM, sebelum boleh aku bergelar siswazah. Aku berkenalan dengan cikgu kompang ketika itu iaitu Cikgu Muzaini. Cikgu Muzaini agak peramah dan mudah mesra, berasal dari A. Gajah,Melaka. Dengan beliau aku banyak belajar permainan kompang ezhar. Dari berteh dan johor, aku kini telah belajar banyak benda baru iaitu antaranya pukulan jenis baru,rancak,silat,hadrah panjang dan hadrah zapin. Selain itu, aku juga mengenali beberapa otai-otai kompang dari Kolej 9. Aku memang menyampah dengan dieorang ni time tuh. Almaklumlah dieorg bergelar juara...so kebelagakan mereka agak terserlah. Sungguhpun begitu, salah seorang dari dieorang ni nama Wan selalu ajak aku berborak. Sehingga die berminat datang ke kolej aku, bermain kompang bersama-sama kami. Wan nie kalau korang nak tau banyak mengajar aku dan kawan-kawan kat kolej pukulan baru. Sepatutnya bile musim pertandingan, dia patut bermain bersama kami. Atas alasan kesibukan yg melampau, die terpaksa menarik diri. Pada tahun ini juga, kami mempunyai junior-junior yg komited dan mempunyai semangat. Antaranya As, Asri, Acad, Mike, Gaban dan aku lupe nama sorang lagi nie.

Bercerita ketika musim Festival Seni, kelihatan pasukan kami tahun ini agak mantap. Lagu ‘Paluan Gema Menara’ yg dicadang oleh cik As serta selawat yg diajar kepada kami begitu menarik. Selain itu aku dan beberapa junior berusaha mencari lagu penutup yg lebih menarik. Kami telah memilih lagu ‘Ketipang Payung’. Dari segi pakaian, kali nie persarungan kami lebih mantap. Aku mendapat idea untuk membuat baju laying iaitu baju jaket bagi pembesar-pembesar melayu zaman dahulu yg diperbuat daripada kain baldu, dipadankan dengan sepasang baju melayu warna emas dan sampan jenama mydin.

Pada tahun ini juga aku dilantik sbg kapten bagi pasukan kami. Tanggungjawab yg dipikul agak berat. Aku perlu tahu semua lagu dan pukulan yg dicipta sebelum mengajar kepada yg lain-lain. Aku juga perlu menyediakan bajet membeli kompang,segala peralatan dan juga pakaian untuk pertandingan. Selain itu, aku dan yg lain bertungkus lumus membuat rentak tarian. Nyok dan Ija yg banyak membantu. Thanks to them. Latihan mcm biasa, siang dan malam sampai nak termuntah. Makan kompang,tido kompang,mimpi pun kompang…………….Azam untuk mengalahkan Kolej 9 adalah matlamat utama aku selama nie…

Tiba hari yg dinanti-nantikan….pertandingan bermula. Kolej 9 mengambil tempat sebagai peserta yg pertama membuat persembahan. Kali ni persembahan mereka agak biasa. Walaupun masih kreatif seperti dulu, nampak kurang menarik. Tiada apa – apa pembaharuan. Dalam hati aku rasa mcm boleh makan jer die orang ni. Selepas itu, tiba masa pasukan kami untuk mempersembahkan apa yg telah kami hasilkan di samping latihan intensif yg menjangkau sebulan. Segalanya berjalan dgn baik..seperti yg dirancang. Aku cukup berpuas hati dgn persembahan kami pada tahun ini. Memang jauh berbeza dgn tahun-tahun lepas. Keputusan juri amat memeranjatkan. Buat pertama kali dalam sejarah kami dapat menewaskan Kolej 9. Namun begitu, hasrat menjadi juara tidak kesampaian kerana telah disandang oleh Kolej Ke5. Aku, member-member dan semua pasukan lain tak berpuas hati dgn keputusan juri memberi kemenangan kepada Kolej Ke5 dgn menggunakan kompang tong mereka. Tapi tak mengapalah. Hati aku sudah cukup puas dapat tewaskan juara bertahan selama nie. Sebelum aku grad, aku telah mencipta kejayaan yg bermakna buat diriku dan Kolej 2.

Kisah kompang dan aku tidak berakhir di situ sahaja. Aku masih giat membantu walaupun secara tak langsung kepada sesiapa yg memerlukan. Pada tahun 2005, En Faisal Beckham menjemput aku menjadi tenaga pengajar untuk kolej dia. Die memperkenalkan aku dgn salah seorang otai kompang kolej nie. Bila aku tgk muke mamat nie, aku mcm pernah tengok die main time kat Festival Seni untuk Kolej 9. Nama die Zaid. Budak ni memang gile kompang. Banyak persamaan dgn aku time aku masih study kat UM dulu. Aku intro sikit2 kat dieorg permainan aku time kat Kolej 2 dulu. Tapi kali ni aku masukkan unsur-unsur pukulan kreatif sikit. Si Zaid pulak banyak mempraktikkan ilmu yg die belajar kat Kolej 9. Bagusla macam tuh...Kombinasi ni agak mantap untuk dibawa ke pertandingan. Aku lebih rapat dgn budak2 kolej ni mungkin disebabkan dieorg ni mendengar kata dan suke mencuba sesuatu yg baru. Dalam mencipta lagu dan pukulan, apa yg paling penting yg aku nampak perlunya berani mencuba sesuatu yg baru. Jangan tutup minda dengan menyekat idea2 yg keluar dari kepala otak walaupun kadang-kadang ianya agak mengarut. Cube untuk mencipta sesuatu yg dirasakan menarik dan kreatif. Takkanlah sampai 5 tahun nak persembahkan benda yg sama. Juri pun sure bosan nak tengok punya. Aku rase lebih mudah untuk mengajar beginner daripada yg sudah mahir kerana sifat inkuiri mereka ni begitu tinggi untuk belajar sesuatu yg baru. Biasanya masalah dalam kompang ni sejak aku mula-mula sertai dulu ialah kehadiran semasa latihan. Komitmen yg ditunjukkan kadang-kadang mengecewakan. Sungguhpun begitu, permainan muzik yg memerlukan kerjasama berkumpulan ini memang menarik kalau semuanya menjadi.

Kali pertama aku melatih dieorg ni, kami mendapat naib johan dalam pertandingan Festival Seni UM tahun 2005. Punyalah seronok aku tengok dieorg ni dapat no.2. Bagi aku, no. 2 ni aku dah biase dapat time aku sertai dulu.Takpela..permulaan cukup baik bagi kolej yg baru dan tanpa pengalaman yg luas..naib johan adalah suatu permulaan yg cemerlang. Gema Astar, nama yg diberi telah melakukan kebangkitan. Walaupun tak dapat menewaskan Kolej 9, aku berjaya mengalahkan Kolej di mana tempat aku belajar bermain kompang. Kolej 2 pada tahun tersebut hanya mendapat tempat ke 5.

Tahun 2006 pula, aku masih lagi aktif walaupun tidak seaktif tahun sebelumnya. Kawan – kawan aku ramai yg dah grad tahun ni. Faisal dengan Rafiq dah takde. Poche pulak dah duduk rumah. So aku jarang juga datang tengok dieorg ni main. Sekali sekala jer. Tahun 2006 aku banyak menghasilkan pukulan baru untuk pasukan ini. Memang rezeki mereka lah kebetulan idea aku mencurah-curah datang. Di samping si Zaid yg banyak juga memberi pandangan dan pembaharuan, persembahan kali ni pastinya mantap. Johan adalah matlamat utama kami, seterusnya melenyapkan penguasaan Kolej 9 bagi acara kompang ini. Untuk pengetahuan korang, selepas Kolej 9 kalah pada tahun 2001, mereka terus menjadi juara bertahan di mana merampas semula kejuaraan pada tahun 2002 sehinggalah tahun 2005. Menjelang bermulanya musim Festival Seni, aku kali menyediakan material yg perlu diajar kat budak-budak nie. Kali ni aku ingin membantu dieorg merampas kejuaraan tersebut.

Time aku balik bercuti di kampung, tercetus idea dalam kepala aku untuk mencipta satu pukulan yg kemudian kami menggelarnya sebagai ‘Pukulan Arab’. Memang best dan mcm bunyi arab. Time aku introduce kat budak-budak nie, semua macam excited dan suke dgn pukulan tersebut. Selain itu, pukulan kosong kami pada tahun ini agak mantap diselangi dgn pelbagai jenis gimik bunyi dan tarian.

Di hari pertandingan, pasukan Gema Astar nie merupakan peserta terakhir yg mempersembahkan paluan kompang mereka. Kami menjangkakan tiada halangan untuk menjadi juara pada tahun tersebut. Namun keputusannya masih agak mendukacitakan. Kami hanya muncul naib juara. Juara bertahan masih Kolej 9 yg mengekalkan kejuaraan mereka untuk kali yg ke 7. Tahniah diucapkan walaupun aku berasa sedikit terkilan. Persembahan kami agak cemerlang, dengan gimik dan paluan yg mantap. Paluan intro yg cukup menggempakkan, lagu ‘Tari Tualang Tiga’ dengan lengguk melayu asli yg memang membuat penonton terpukau, kelucuan lagu ‘Nujum Pak Belalang’,pukulan kosong yg paling hebat serta lagu penutup yg menarik dengan gimik tutup gelanggang. Segalanya aku rase hampir sempurna. Namun mungkin terdapat sedikit kelemahan yg aku sendiri belum begitu pasti apa die menyebabkan kami tidak diiktiraf sebagai johan.

Kepada anak-anak buah yg membaca blog nie, aku nasihatkan agar tahun ni kite perbaiki apa kelemahan yg berlaku di masa lepas. Paling ketara gema suara berkumpulan yg agak sumbang mungkin dikira sbg faktor punca kekalahan tersebut. Aku tidak pernah menyalahkan sesiapa. Cuma sebagai tenaga pengajar, aku inginkan yg terbaik untuk pasukan yg aku didik sejak dari awal ni. Aku syorkan kepada semua pemain-pemain kompang Gema Astar, bila korang free aku harap korang dapat tengok filem ‘Stomp The Yard’. Semangat berpasukan di dalam cerita ini serta suka duka di dalam 1 kumpulan yg seperti adik-beradik dan sifat setiakawan ditonjolkan. Pengalaman kumpulan Theta Nu Theta yg tewas sepanjang 7 tahun yg pada akhirnya menjuarai kejohanan ‘Stomp The Yard’ tersebut. Semangat, komitmen serta idea yg wujud dalam filem ini yg aku mahu korang semua contohi. Harapan pada tahun 2007 ini amat tinggi. Insya allah kita akan berjumpa lagi pada sesi latihan andainya aku dijemput. Akasha selaku kapten tahun ini ada mesej menjemput aku memberi bantuan untuk pertandingan tahun ini. 2-3 hari ni aku dah memikirkan beberapa lagu dan selawat sesuai untuk korang. Insya allah dengan usaha beserta tawakal dan doa, kita pasti beroleh kejayaan yg lebih cemerlang pada tahun ini...........:)

AKU, JELEBU DAN KFC....................

1986

Tatkala aku masih bersekolah darjah 1 di Jelebu. Time tu, keadaan pembangunan di Jelebu masih belum maju. Tiada pasar raya..apatah lagi Shopping Complex. Kebanyakan kedai runcit adalah milik towkey-towkey cina tua. Aku kadang-kadang dengan kawan-kawan sekolah singgah membeli mamee di kedai apek tua berdekatan stesen bas. Kami menggelar towkey cina ini sebagai ‘pendek’. Bagi aku takda apa pun yg menarik di pekan kecil Kuala Klawang di zaman ini. Hanya terdapat pasar minggu pada hari ahad pagi. Itulah tempat yg agak murah untuk penduduk di serata kawasan di Jelebu untuk membeli belah barangan runcit. Di zaman ini, penduduk tidak pernah terfikirkan suatu hari nanti muncul hypermarket – hypermarket seperti Tesco,Giant,Jaya Jusco dan lain-lain.

Bagi aku yg kecil nie, minat aku ketika itu lebih tertumpu kepada mainan. Ketika aku mendapat nombor 1 dalam peperiksaan semester 2 ketika berada di Darjah 1, aku telah menuntut kepada arwah bapa sebuah kereta polis mainan. Memang susah nak cari kereta mainan ketika ini di pekan Kuala Klawang. Kami terpaksa menaiki bas ke Seremban untuk membeli kereta mainan tersebut. Selain itu, minat aku lebih terdorong kepada permainan catur atau ‘chess’. Aku adalah seorang pemain chess yg hebat ketika berumur 5 tahun lagi. Bayangkanlah, ketika darjah 1, aku dah boleh kalahkan budak darjah 6, form 1 main chess.

Bercakap mengenai soal makan pula, kat Jelebu ni tak banyak pilihan la setahu aku. Yg ada pun biasenya macam satay. Nak cari KFC memang tak jumpelah. Aku hanya dapat berjumpa dengan ayam KFC ni sewaktu kakak aku balik dari KL. Biasenya die akan beli pada waktu hari raya lah. Kalau tak silap aku, TV3 pun masih belum clear lagi di Jelebu ketika zaman ini. Apa nak buat, budak-budak kampung sezaman aku biasanya akan bermain permainan melayu kampung waktu petang-petang. Aku rasa paling best pun mainan yg kami main ialah perang2 dan main laying-layang. Tapi main perang2 time tu bukannya guna pinball mcm sekarang nie. Paling canggih pun gune peluru kacang,kalau tak pun pakai senapang kayu atau mainan,pastu bunyi pakai mulut je. Di samping kereta mainan, aku juga suke kumpul mainan berbentuk senapang atau pistol. Sejak kecil, cita-cita aku nak jadi Komando….Korang mesti pelik mana aku tau perkataan komando nie even time tu aku berumur 5-6 tahun. Tapi pendedahan yg dibuat oleh abang aku membuat aku yg cita-citanya hampir sama dgn akulah buat aku pilih kerjaya tersebut. Time main perang2 ni yg mahalnya aku siap conteng2 muka dgn arangla. Kalau dapat seluar celoreng askar kira hebatlah dikalangan kawan2.

1995

Tahun 1995 aku terpaksa meninggalkan Jelebu. Sungguhpun berat rasanya ingin meninggalkan tanah air tercinta, namun kerana ingin menuntu ilmu, aku terpaksa berhijrah dari kampung halaman ini. Setelah siap berkemas, kami bergerak menuju ke Terengganu. Aku menyambung pelajaranku di MRSM K. Berang. Jelebu ketika ini tidak banyak beza dengan tahun 1986. Cuma sudah adalah pembangunan kecil sedikit-sedikit. Sudah wujud stesen bas baru di sana. Kalau tak silap aku, time ni dah ada jalan yg menghubungkan Jelebu dengan Hulu Langat dan Ampang menggunakan jalan Genting Peras. Jalan yg amat sesuai utk peminat drift mcm aku nie.

Di sepanjang 2 tahun aku berada di Terengganu, aku selalu teringatkan kampungku ini. Tiap – tiap hari aku akan mengira hari bila nak cuti..so aku boleh balik kampung. Jika dilihat di sekitar kawasan kampung aku, banyak tanah – tanah yg dulunya merupakan hutan belukar telah menjadi kawasan landai bagi membina rumah-rumah kediaman. Berhampiran dengan kampung aku, terdapat satu bukit yg dinamakan bukit piatu. Bermacam-macam cerita seram dan pelik mengenai bukit ini. Aku dengar orang kampung bercerita bagaimana susahnya untuk menarah bukit tersebut serta membuang batu yg berada di atas bukit. Jentolak yg digunakan sampai terbalik beberapa kali kerana tempat ini agak keras menurut orang – orang kampung. Semasa aku kecil pun ibu bapa aku melarang aku bermain-main berhampiran kawasan bukit ini. Kini ianya telah ditarah dan diratakan untuk membuat taman perumahan.

Namun apa yg pasti, ketika hampir 2 tahun aku belajar di Terengganu, kekerapan aku makan KFC adalah lebih tinggi berbanding ketika aku bermastautin di Jelebu.

1998

Aku memulakan sesi pembelajaran tahun pertama di Universiti Malaya. Dalam tahun nie, aku memang jarang balik kampung. Aku hanya akan balik bila cuti semester atau pun cuti raya. Ianya disebabkan aku sering mengunjung rumah kakakku di Kajang kerana mak aku pun selalu kat sana.

Bercakap mengenai Jelebu ketika ini, aku masih tidak nampak sebarang perubahan ketara yg berlaku di sana. Apa yg aku perasan suasana pada waktu malam agak happening di sana berbanding pada tahun-tahun sebelumnya. Makin banyak warung-warung makanan telah wujud pada waktu malam di sini. Kalau tak silap aku, cyber cafe pun dah ada time ni. Yg paling menarik ialah sebuah kafe makanan segera yg majoriti menunya ialah ayam. Aku lupa apa nama kafe tersebut. Yg pastinya bukan KFC seperti yg aku harap-harapkan.

Aku nak bercerita tentang hari raya di waktu ini. Agak seronok jugaklah sbb time ni aku dah boleh menyimpan rambut panjang seperti yg aku idam-idamkan suatu masa dulu. Imej grunge yg kian popular pada ketika itu telah membuatkan aku terpengaruh mengikut gaya musician2 muzik grunge ini. Yg paling best ketika memakai baju melayu raya sambil melepaskan rambut panjang yg mayang menghurai tersebut. Macam hero komik ‘Bersama Selamanya’ lah pulak. Walaupun zaman makin moden, tetapi di waktu malam raya, aku masih terdengar bunyi meriam buluh yg dimainkan oleh budak-budak kampung. Hebat betul dieorang nie. Aku pun tak mampu nak buat sendiri meriam ni kalau tanpa bantuan kawan-kawan. Ada juga di antara budak-budak kampung ni yg main meriam dalam tanah. Yg ni memang professionallah. Bunyinya mmg jauh lagi kuat dr meriam buluh dan agak kurang bahaya dari yg dibuat dari buluh. Aku time cuti raya nie berkesempatan join budak-budak kampung main meriam nie.

Zaman aku nak minta duit raya telah pun habis. Nak bagi duit raya pun tak mampu lagi. Apa yg aku mampu hanye melihat orang tua memberi kepada budak-budak jer. Aku yg berada di golongan pertengahan ni tak terlibat di dalam pemberian atau penerimaan ang pow raya nie. Kalau pasal bab shopping pula, biasanya aku akan membeli belah di KL sebelum balik kampung. Ataupun singgah di Seremban dalam perjalanan balik. Di Jelebu kalau korang nak tau memang tak banyak lah barang-barang branded yg korang boleh dapat. Setakat kasut bata,power, t-shirt boy london adalah. Itu pun kat satu dua kedai je. Macam mana awek – awek kt Jelebu nak dress up? Bak kata kawan-kawan aku yg kebanyakannya merupakan sepupu dan dua tiga pupu aku, “Awek Jelebu apa class, pergi pekan pakai tracksuit, mekap tebal pulak tu.” Bukan main sedap dieorang kutuk. Tak ingat – ingat dieorang tu pun orang Jelebu. Dress up pun sama jer lebih kurang macam awek – awek tu. Cuma mekap jer takde. Huhuhu. Aku malas nak komen apa-apa. Aku kan grunge masa tu. Awek – awek ni buang masa jer. ”Kalau kedai tu tutup, alamat tak merasalah. Kalau korang nak tau kat Jelebu ni biasanya kedai tutup awal kalau bukan musim raya. Cume time raya je buka sampai pukul 10-11. Kalau bukak sampai lewat malam pun siapa yg nak datang. Anjing jalanan dengan orang gila banyaklah kat kawasan pekan K.Klawang nie. Memang aku perasan makin banyak orang gila yg duduk tersidai kat pekan K. Klawang nie. Aku pun tak tahu apa yg terjadi kat dieorang nie. Ade sorang mamat yg gila ni, die mmg pakai smart mcm nak pergi ofis,siap tie dan kot, tapi naik basikal. Di samping kacamata Rayban Aviator yg mlekat dimatanya, aku pun tak tahu ke mana hala tujuan beliau. Ada juga yg duduk mundar mandir di pekan sambil minta sedekah kat orang yg lalu lalang.

2002

Tahun 2002, Aku menamatkan pengajian di Universiti Malaya dan telah mendapatkan segulung ijazah. Sungguhpun begitu, di zaman berlakunya kemelesetan ekonomi yg meruncing di kalangan siswazah menggangur seperti aku, apa yg mampu aku buat ketika ini ialah balik ke kampung sambil mencari kerja. Tugas harian aku ialah bangun,tidur,selak paper kalau ada kerja kosong,makan,berak.Tidak lebih dari itu. Sebelum aku ambil scroll, rambut aku masih panjang. Sampaikan jiran yg berdekatan rumah yg tak pernah nampak aku, siap bertanya “Siapa budak tu?Kenapa menganggur? Malas kerja ke?”.huhuhu. Makan tidur jer kat rumah. Suara hati aku berbisik, saya ada Ijazah la makcik,jangan main-main tau.Huhuhu. Bagi aku, betapa susahnya aku belajar di UM untuk mendapatkan segulung ijazah, takkan aku nak kerja jaga tol. Aku bukan nak hina kerjaya mcm ni. Tapi aku harap aku dapat kerja yg berbaloi dengan kelulusan tersebut. Paling kurang gaji mesti dalam RM2,500.00. Mcm kata lecturer aku, memang patut u all memilih kerja.Sebab u all belajar kat UM ni susah-susah, u all perlu cari kerja yg berbaloi ataupun menepati citarasa. Ceh!!!!!..Menyampah aku dengar. Disebabkan prinsip tu hamper 6 bulan aku menganggur kalau tak silap. Mak aku pun dah menyampah tengok muka aku. Asyik tersidai jer atas tangga rumah. Tak pun terlantar atas kusyen sambil tengok tv. Takde hasil langsung.Buek ngabihkan bogheh yoo..

Kita kembali kepada topik asal iaitu tentang tanah airku yg bernama Jelebu. Dalam tahun 2002 nie, pelbagai pembangunan telah dijalankan walaupun bukan secepat yg dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Ini termasuk pembangunan infrastruktur dimana jalan raya dari Seremban ke Jelebu telah mula diperbesarkan. Manakala kawasan-kawasan rekreasi telah dibangunkan dan direnovasi bagi memenuhi keperluan pengunjung. Di Jelebu ni ada 2 air terjun yg menjadi tempat kunjungan ramai iaitu Jeram Toi di kawasan Bukit Tangga, iaitu laluan ke Seremban. Manakala satu lagi yg lebih tersorok di pendalaman Kg Chennah. Hanya pengunjung tempatan saja yg tahu tempat ni. Tapi aku rasa tak juga. Menurut bangah (abang aku no.2), ramai peminat 4wheel drive selalu masuk ke Jelebu untuk menikmati keindahan hutan di sini. Mereka biasanya datang pada hujung-hujung minggu. Ini mungkin disebabkan keadaan geografi Jelebu yg berbukit-bukau dan majoriti kawasan masih ditebali dengan hutan rimba,maka ianya mungkin menarik penggemar-penggemar sukan lasak pacuan empat roda ini. Selain itu, pelbagai pusat dibina di sini. Ada pusat pemulihan akhlak, pusat serenti dan bermacam-macam pusat lagi. Yg paling terbaru, wujud stesen minyak Petronas di pekan. Kalau tidak dulu hanya wujud 2 jenis stesen minyak sahaja. Tiada pilihan yg boleh dibuat oleh penduduk di sini. Simpang tiga depan Balai Polis K.Klawang pula telah dihiasi dengan arca buah-buahan tempatan walaupun setahu aku Jelebu hanya banyak menghasilkan durian dan buah naga (buah tempatan ke?). Arca-arca ini pula dihiasi lampu –lampu yg berwarna warni, menyinari kehadiran malam di pekan ini. Bagi hidangan makanan pula, tiada apa yg baru di sini. Kafe makanan segera berasaskan ayam telah pun ditutup. Malang betul orang Jelebu. Sudahla takde KFC, ada restoran yg iras-iras KFC pun sudah ditutup. Mungkin tidak mendapat sambutan agaknya. Untuk mendapatkan maklumat terkini dari seluruh dunia, aku akan melayari internet di cyber cafĂ© milik kawan lamaku. Sungguhpun tahap kelajuan akses internet di sini kalau dibandingkan dengan streamyx, macam kura-kura dengan kuda belang, namun aku tidak ada pilihan lain. Tunggu jugakla hingga kadang2 aku terlelap depan PC.

Sebenarnya, walaupun aku duduk di rumah dalam tempoh yg lama pada tahun 2002 ni, aku tidaklah begitu perasan dengan keadaan pembangunan di kawasan kampung aku. Apa yg aku perasan, kawasan di sekitar rumah aku telah dibanjiri dengan hutan batu. Hutan batu ini sebenarnya ialah rumah-rumah batu milik orang kampung yg agak berada. Kebanyakan di antara mereka ini baru balik bekerja di perantauan. Setelah bersara, mereka akan pulang ke kampung membawa sedikit harta untuk membina rumah batu. Oleh kerana itulah, kebanyakan rumah-rumah di kawasan kampung aku dipenuhi oleh warga-warga emas dan juga balu yg suami mereka telah meninggal. Aku jarang sangat keluar berjalan. Nak pergi mana pun? Biasanya aku hanya melepak di car wash milik sepupuku. Di waktu malam, kami akan duduk borak-borak sampai kul 1 pagi. Kadang-kadang, kami menjamu selera di warung satay milik jiran di pekan Titi. Begitulah aktiviti aku ketika menganggur.

2007

2007 pula menjelma….. Ketika ini aku sudahpun berada di zaman pekerjaan. Sama seperti kebanyakan ramai kawan-kawan, makan gaji di sektor swasta. Aku telah memiliki kereta sendiri,juga merupakan pembangunan untuk diri sendiri membuatkan aku makin mudah untuk balik ke kampung paling kurang sebulan sekali. Biasanya aku akan balik pada hujung bulan, mengambil mak aku untuk dibawa ke Kajang. Di ketika ini, Jelebu tanah airku telah mula membangun selangkah. Pembangunan mula bertumpu bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur tetapi juga termasuk pembangunan sosial, budaya dan masyarakat. Jelebu makin maju antara faktornya ialah ianya dibangunkan ketika pelancaran Tahun Melawat Negeri Sembilan 2006. Pelbagai pembaharuan dibuat di sepanjang tempoh tersebut. Antara yg paling menonjol ialah pembinaan jalan raya yg yg lebih lurus di beberapa kawasan di Bukit Tangga serta pembesaran jalan raya tersebut. Jika dahulunya perjalanan dari Seremban ke Jelebu mengambil masa selama 1 jam, tetapi kini hanya 30 minit sahaja. Bayangkanlah perubahan yg agak ketara dari segi tempoh perjalanan tersebut berbanding dengan 10 tahun yg lepas.

Antara pembangunan fizikal yg dapat dilihat ialah dengan terbinanya Muzium Adat yg terletak berhampiran tapak pasar minggu pekan K.Klawang. Aku masih belum berpeluang masuk ke dalam muzium ni lagi. Di kawasan pekan tersebut juga, telah wujud pasar malam iaitu pada malam rabu bagi memudahkan penduduk di Jelebu membeli belah barangan makanan dan runcit dengan harga yg agak berpatutan. Selain itu, terdapat taman rekreasi yg direnovasi bagi setiap pengunjungnya beriadah. Di situ juga terdapat kolam renang awam di mana lokasinya betul-betul berada di tengah lorong jalan kaki. Inilah kali pertama aku melihat kolam renang awam dan juga pertama kali wujud kolam renang di Jelebu. Aku sempat bersiar-siar pada pagi ahad semasa balik bercuti di kampung. Selain itu, terdapat juga resort penginapan yg kadar sewanya agak berpatutan dengan harga bermula dari RM70 per malam. Bagi pelancong sama ada dari luar Negara mahupun tempatan bolehlah berkunjung di resort tersebut yg diberi nama Klawang Resort kalau tak silap aku.Hehehe………

Namun apa yg aku harapkan selama ini masih belum menjadi nyata. KFC yg aku fikir mungkin akan dibina di kampung tercinta masih belum nampak lagi akan kelibat restoran makanan segera ini. Hajat penduduk kampung untuk menikmati ayam goreng hot & spicy belum tertunai. Sungguhpun pembangunan infrastruktur semakin pesat, namun tiada lagi wujud restoran makanan segera di sini. Restoran makanan segera adalah benchmark untuk menunjukkan pembangunan sesebuah kawasan tersebut mengikut tafsiran sesetengah orang kampung. Pembangunan yg pesat juga harus seiring dengan kemajuan dan peningkatan taraf hidup penduduk yg ada di situ. Pendapatan per kapita penduduk perlulah hamper seimbang dengan tanpa jurang yg agak ketara. Apalah gunanya ada pembangunan jikalau penduduk kampung masih lagi tidak mendapat keperluan asas yg sewajarnya, makanan yg tidak berkhasiat, pakaian yg compang – camping serta rumah sebagai tempat perlindungan yg tidak selesa.

Bagi aku sejauhmanapun pembangunan yg wujud, keadaan rumah aku masih sama seperti dulu. Rumah papan berbentuk senibina melayu lama yg sudah agak uzur keadaannya. Manakan tidak, rumah ni sudah wujud di zaman aku masih belum lahir lagi. Dengan dinding jamban yg telah kopak, aku masih mampu membuang air besar dengan sempurna tanpa gangguan. Sungguhpun KFC masih belum wujud di Jelebu, namun aku tetap bersyukur bergelar anak watan kampungku ini. Sekurang-kurangnya kalau aku dah ada anak- anak nanti, dieorg lebih suke menikmati masakan wan mereka dari membeli ayam goreng hot & spicy di KFC yg tahap kolestorelnya adalah amat tinggi. Begitulah ceritanya..Aku, Jelebu dan KFC.